Wednesday, June 30, 2010

Hati Sakit atau Sihat.....

Sebuah hadis yang menarik untuk kita kita renungkan adalah tentang respon atau tindak balas hati manusia mukmin yang melakukan amalan sama ada baik atau buruk. Imam at-Tirmizi meriwayatkan bahawa seseorang hamba itu masih dikira mukmin sekiranya dia mempunyai dua sifat, iaitu ketika dia melakukan kebaikan, hatinya gembira dan ketika dia melakukan dosa, hatinya tidak selesa dan tidak senang. inilah petunjuk yang kita cari dalam menentukan sama ada hati kita masih baik, sakit atau tenat.
Sekiranya kita masih lagi merasai pahitnya dosa dan lazatnya beribadah, itulah hati yang beriman dan bersyukurlah. Namun sekiranya kita tidak merasai kelazatan ibadah, malah lazat itu bertukar menjadi tidak tenang dan runsing, ini amat membimbangkan.
Kita renungkan sebuah hadis riwayat Imam Muslim sewaktu nabi s.a.w. disoal oleh seseorang sahabatnya bernama an-Nawwas bin Sam'an tentang apa itu kebaikan dan apa itu dosa. Rasulullah s.a.w. memberikan jawapan yang padat dan ringkas dengan sabda baginda yang bermaksud : " Kebaikan itu adalah kesempurnaan akhlak, dosa pula ialah apa yang mengganggu di hatimu dan engkau tidak suka ia diketahui oleh manusia.
Inilah petunjuk yang boleh kita gunakan untuk menilai sejauhmana sihatnya hati kita. Bagi seorang mukmin yang memiliki hati yang bersih atau yang masih sihat dan tidak kronik sakitnya, dirinya akan merasa terganggu dan gelisah apabila melakukan dosa. Ditambah dengan sifat malunya sekiranya dosa itu diketahui oleh manusia lain. Bandingkan keadaan ini dengan sikap sebahagian muslim yang tidak merasa bersalah langsung ketika melakukan dosa. malah mereka suka dan gembira apabila dosanya diketahui oleh orang lain.