Rashid melipat sejadah. Dia baru saja
menunaikan solat Asar berimamkan bapa mertuanya, Haji Sarip. Sudah tiga hari
dia bercuti di kampung. Esok dia harus memulakan tugas seperti biasa. Setelah
bersalaman dengan ibu dan bapa mertua. Rashid dan isterinya, Zakiah meminta
diri untuk pulang.Tidak lama kemudian, kereta Wira Aeroback yang dipandu
meluncur di jalanraya. Perjalanan dijadualkan akan mengambil masa lebih 2
jam..Bersama dengan isteri yang dikahwininya dua tahun yang lalu. Mungkin belum
rezeki, mereka belum dikurniakan cahaya mata.Rashid tidak memikirkan sangat
soal zuriat kerana perkahwinan mereka masih muda. Lagipun mereka berdua
sama-sama bekerja. Cadangnya setelah ekonomi mereka kukuh sedikit, barulah
merancang untuk menerima cahaya mata.Hampir sejam berlau, Rashid membelok
memasuki lebuhraya. Bahang matahari sudah mengendur. Keremangan petang
membuatkan cuaca lebih nyaman. Ketika mengerling ke wajah isterinya, Rashid
tersenyum. Zakiah sudah terlena.
Rashid menghidupkan radio. Mendengar lagu
untuk mengatasi perasaan mengantuk. Ketika jam menunjukkan pukul 7:30 malam,
Zakiah membuka mata. Dilirik wajah suaminya sepintas lalu. Sudah masuk waktu
Maghrib. Kalau tidak dingatkan, pasti suaminya tidak akan berhenti untuk
menunaikan solat Maghrib. “Dah Maghrib, bang. Berhenti sekejap.” Wajah Rashid
kelihatan keruh. Membayangkan perasaan kurang senang mendengar permintaan
isterinya. Zakiah sedia maklum. Suaminya bukan sembahyang sepanjang waktu.
Hanya di depan kedua orang tuanya. Malahan di depan orang tuanya sendiri,
Rashid tidak pernah sembahyang. Zakiah kesal dengan sikap suaminya, sudah puas
dia memberikan nasihat tetapi langsung tidak mempan.
Beberapa kilometer kemudian, Rashid membelok
masuk ke tempat rehat. Zakiah kurang yakin suaminya akan turut sama menunaikan
solat Maghrib. Selalunya Rashid lebih rela menunggu di dalam kereta atau
membasahkan tekak di medan selera. Tempat rehat kelihatan sesak dengan
kenderaan. Rashid tidak menemui ruang untuk memarkir kereta. Dia menghentikan
kereta, meminta Zakiah turun.
“Abang tak turun sekali?” tanya Zakiah penuh
harapan.
“Kiah pergilah… abang tunggu kat sini. Tak
ada parking,” jawab Rashid mudah. Sepeninggalan Zakiah yang turun bersama beg
berisi telekung, Rashid memejamkan mata. Tempat parking masih penuh. Dia
terlelap seketika, terjaga semula sewaktu Zakiah membuka pintu kereta.
Perjalanan diteruskan.
“Abang tidur?” tegur Zakiah.
“Ha… terlelap sekejap. Letih rasa badan ni.”
“Kalau abang letih, biar Kiah bawak.”
“Tak apa… kalau tak tahan sangat Kiah
bawaklah nanti.” Zakiah tidak membantah. Lagipun dia sendiri terasa penat.
Hujan mulai turun membasahi jalan. Rashid
memperlahankan kereta. Memandu dalam keadaan jalan licin mengundang risiko.
Namun malang tidak berbau. Rashid sudah berhati-hati tetapi ada pemandu lain
yang kurang memikirkan keselamatan diri dan orang lain. Secara tiba-tiba Rashid
merasakan sesuatu merempuh bahagian belakang keretanya. Dentuman yang amat kuat
kedengaran. Serentak dengan itu kereta yang dipandunya melambung sebelum
menghempas jalan dengan bahagian atas ke bawah. Apabila sudah menyedari apa
yang sebenarnya berlaku, Rashid berusaha keluar. Namun kakinya tersepit
sedangkan Zakiah di sebelahnya tidak sedarkan diri.
“Ya Allah… selamatkan kami… ” bisiknya
perlahan. Terasa mukanya basah, darah merah mengalir. Orang ramai datang
membantu mengeluarkan Zakiah terlebih dulu. Kemudian giliran Rashid tetapi
usaha mereka gagal kerana kaki Rashid tersepit.
“Tersepit… tak boleh tarik… Kena tunggu
bantuan. Kita bawa dulu yang perempuan ke hospital.” Rashid berdoa dan berdoa
tanya henti agar Allah S.W.T menyelamatkan Zakiah dan dirinya.
“Bertahan, encik. Kami sudah memanggil
bomba!”
Anehnya Rashid tidak merasakan kesakitan yang
sewajarnya. Boleh dikatakan kakinya tidak terasa dihimpit oleh sesuatu. Namun
dia gagal untuk menggerakkannya.
“Tolong saya, encik… ” pinta Rashid dengan
nada sayu.
“Mengucap… cik… berdoa kepada Allah… cik akan
selamat.”
“Sabar encik… tak lama lagi pasukan
penyelamat akan sampai.” Kata-kata memberi semangat silih berganti menusuk
telinganya.Dengan keremangan malam, Rashid melihat begitu ramai yang mahu
membantu. Syukur. Pandangannya tertumpu pada seorang lelaki yang memakai jubah
serba putih. Berserban dan berjanggut lebat. Kelihatan mulutnya terkumat-kamit
sambil tangannya memegang tasbih.
“Ya Allah… selamatkanlah aku… “
Bunyi siren agak melegakan Rashid. Bantuan
sudah tiba.Pasukan bomba dengan tangkas mengeluarkan alat kelengkapan untuk
mebebaskan Rashid dari himpitan. Beberapa minit berlalu, kemudian suasana
menjadi sunyi apabila salah seorang anggota bomba bersuara.
“Kakinya tak tersepit apa-apa. Pelik… kenapa
tak boleh keluar?”
Usaha untuk mengeluarkan Rashid terhenti.
Semua yang ada di situ kebingungan. Mereka tidak mampu menarik Rashid keluar,
sedangkan tidak ada apa-apa yang menghimpitnya. Rashid sendiri kebingungan.
Bencana apa yang sedang menimpanya.
“Ini bukan kerja manusia macam kita… kena
panggil orang yang tahu… ” terdengar sebuat pendapat. Rashid semakin gementar.
Doanya tidak putus-putus. Ketika mulutnya terkumat-kamit berdoa, tiba-tiba dia
merasakan seseorang berjongkok di sebelahnya. Rashid berpaling, agak tersentak
melihat lelaki berjubah tadi berada di sebelahnya.
“Tuan… tolong saya tuan… “
“Saya tak boleh menolong, Yang Berkuasa
hanyalah Allah Taala… “
“Saya tak berhenti berdoa, tuan. Tolonglah
saya, tuan… “
“Kamu berdoa kepada siapa?” Rashid terdiam.
Aneh bunyi pertanyaan lelaki itu. Dalam keadaan cemas begitu, Rashid merasakan
bukan tempatnya untuk bergurau. Apatah lagi lelaki itu kelihatan seperti orang
alim.
“Sudah tentulah pada Allah.”
“Tetapi Allah bukanlah Tuhan kamu!”
Rashid tidak mampu hendak menggerakkan
sebarang anggota. Kalau tidak, sudah pasti dia akan mengerjakan lelaki itu.
Nampak saja alim, tetapi bercakap seperti orang yang tidak berilmu.
“Bukankah selama ini kamu tak pernah
menyembah Allah. Kamu hanya mendirikan sembahyang di depan mentua kamu.
Sedangkan di belakang mereka, kamu tidak pernah ingat pada Allah. Tidakkah kamu
malu meminta pertolongan dari Allah. Kenapa kamu tidak meminta pertolongan dari
mentua kamu!”
Tenggorok Rashid terasa amat kering. Dia
ingin bersuara, memohon ampun atas kesilapannya selama ini, tetapi tidak ada
suara yang keluar.
Lelaki berjubah itu hanya tersenyum, kemudian
bangun dan meninggalkan Rashid. Rashid berusaha untuk memanggil, ingin memaklumkan
bahawa dia menyesal tetapi mulutnya tidak mampu lagi dibuka. Sedangkan
kesakitan mula terasa.Sesuatu yang amat berat menghimpit sehingga dia tidak
mampu bernafas. Rashid cuba meronta tetapi usahanya hanya sia-sia. Tidak lama
kemudian dia tidak sedarkan diri.
“Abang… bang! Abang!!” , sayup-sayup
terdengar suara memanggilnya dari jauh.
“Abang !!! … bang !! Abang !!!, suara
tersebut didengarinya semakin jelas. Itu suara Kiah.
Perlahan Rashid membuka mata. Wajah isterinya
memenuhi pandangan. Syukurlah isterinya selamat. Rashid memanjatkan kesyukuran
di dalam hati. Akhirnya mereka mampu keluar dari bencana.
“Sedapnya tidur… naik serak suara Kiah
mengejutkan abang… “
Tidur? Rashid terpinga-pinga. Segera dia
memandang sekeliling. Ya Allah! Dia masih berada di tempat rehat.
“Kiah tunggu sekejap… abang nak solat
Mahgrib!” kata Rashid sambil terkocoh-kocoh membuka pintu kereta. Zakiah
tercengang, senyuman merekah di bibirnya.
Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah
S.W.T bersabda :-
“ALLAH S.W.T BERFIRMAN :
AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS SESUATU DAERAH
APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KEMASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA
LAIN DEMI KEPENTINGAN DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN PADA WAKTU TENGAH MALAM”.