Iblis
dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan
manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka,
dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut.
Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul
maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.Hadith Rasulullah s.a.w..
menerangkan:Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada
perdayaan Syaitan di waktu maut.”
Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan
banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan
lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat.
Maka disebabkan orang yang di
dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang
tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu
nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa
kepada Allah s.w.t. inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah
tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang
didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti
seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang
didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun
meraung dan melompat sekuat hati.
Maka seketika itu juga akan putuslah
nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati
dalam keadaan lupa kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik
dan ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Syaitan
mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan
merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak
mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai
dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka
dirupakan dengan Kuda lumba (judi).
Jika dia minat dengan
dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila
tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu
dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam
golongan yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan
Munafik, maka nerakalah tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Syaitan merupakan
dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti
musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu
akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya
itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan
Munafik, dan nerakalah tempatnya
Rombongan 5
Akan datang Syaitan merupakan
dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya
dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul
maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan
tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si
ibu yang dirupai oleh Syaitan,
berkata dengan rayu-merayu
“Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan
berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami
sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam
syurga.”
Maka dia pun sudi mengikut
pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai
maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan
terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya
sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai
muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami
pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor
dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka
hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali.
Lalu datanglah pula Syaitan yang
menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi
nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat
Allah?”
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul
maut: “Aku tidak tahu.”
Berkata ulamak Syaitan: “Ketahuilah, aku
ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam
ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang
telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t.
hendaklah kamu patuh kepada kami.”
Ketika itu orang yang dalam sakaratul
maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya
semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan
oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut).
Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak
palsu:
“Bagaimanakah Zat Allah?” Syaitan merasa
gembira apabila jeratnya mengena .
Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu,
sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. “
Apabila tirai dibuka selapis demi selapis
tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun
dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit
dan bumi.
Berkata Syaitan: “Itulah dia Zat Allah
yang patut kita sembah.”
Berkata orang yang dalam sakaratul maut:
“Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini
mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya,
mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya.
Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai
makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang
ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut
aku sembah ialah benda yang besar ini.”
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun
datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan
dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik
selama hidupnya di dunia ini.
Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang
ketujuh ini Syaitan terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah
kerana dia menepati Iktikad Muhammad s.a.w. bahawa umat Muhammad akan terbahagi
kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72
lagi masuk ke neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Syaitan itu
akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain
di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan
kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk
menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha
bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.
Bersesuaian dengan sebuah
hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang
yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.”