Friday, June 18, 2010

Mencari Jalan Menuju Kedamaian...

Setiap insan di dunia mengimpikan sebuah kehidupan yang bahagia, tenang, aman dan damai. Namun begitu jalan yang kita pilih mestilah berlandaskan hukum syarak supaya bahagia yang kita cari merupakan kebahagiaan dan ketenangan yang hakiki.

Berduka dan bersedih merupakan satu penyakit yang ada dalam diri setiap insan selagi ia hidup. Penyakit ini timbul kerana terlalu menuruti kepentingan jasmani dan keinginan syahwat sehingga sukar untuk dipisahkan dengan sesuatu atau perkara yang sangat dicintai..

Ramai manusia berdukacita lantaran memikirkan keuntungan, kekayaan dan kemuliaan masa lalu. Semua itu tidak memberi faedah padanya. Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku tidak mungkin akan kembali, walaupun ditangisi dengan air mata darah sekalipun, bahkan akan merosakkan jasmani dan rohani. Manusia akan menangisi masa lalu kerana ia tidak meyakini dan memahami bahawa alam ini dan segala isinya berasal daripada tidak ada, kemudian ada dan akhirnya akan hilang dan sirna. Dengan demikian, kemuliaan, kehebatan, pujian dan sanjungan, anak-anak dan isteri, harta benda dan kekuasaan akan datang dan akan pergi bila-bila masa sahaja.


"Menjaga dan memelihara apa yang ada sekarang" itulah cara untuk mengubati penyakit dukacita ini. Semua yang telah pergi, yang ada sekarang dan yang akan datang adalah nikmat. Janganlah melupakan nikmat yang ada lantaran meratapi nikmat yang hilang. Kalau ada jangan mengharap, kalau hilang janganlah cemas. Di waktu nikmat melimpah ruah, banyaklah bersyukur dan letakkan ia pada tempatnya. Insaflah semua ini adalah pinjaman untuk seketika. Jika nikmat itu pada masa muda, gunakanlah masa muda dengan baik dan berfaedah untuk diri dan juga orang lain, kerana masa muda itu tidak lama. Jika masa muda digunakan dengan baik, kelak di hari tua tidak akan menyesali kepergiannya, melainkan tersenyum, bangga dan bahagia. Sekiranya nikmat yang melimpah ruah berupa harta benda, kekayaan, kemuliaan dan kekuasaan, pelihara dan gunalah dengan baik kerana semuanya juga akan pergi tanpa memberitahu terlebih dahulu ketika kita berada dalam keadaan lupa dan lalai.

Sakinah atau ketenangan diturunkan oleh Allah dalam hati manusia. Oleh kerana itu seseorang yang ingin memperoleh ketenangan hendaklah ia mengosongkan atau membersihkan hatinya daripada segala sifat tercela, mengakui dosa-dosa yang pernah dibuat dan beriltizam untuk memutuskan hubungan dengan msa lalu yang kelam dengan penuh penyesalan dan pengawasan untuk mantap terhadap diri.

Kita akan menemui seseorang yang telah dihiasi jiwanya oleh ketenangan atau sakinah, tidak banyak berbicara tetapi banyak berfikir dan mengamalkan. Berbicara dengan lemah lembut, tidak bercakap dengan nada yang keras apa lagi mengutuk, jauh daripada membuat kekecohan dan seorang yang bersifat pemaaf. Inilah dambaan kita yang hidup di alam moden yang penuh dengan cabaran yang datang dari pelbagai penjuru dan menyebabkan kegelisahan dan kegundahan dalam jiwa seseorang.


No comments:

Post a Comment