Saturday, May 7, 2011

Pengorbanan Ibu............

Wahai wanita yang berpeluang menjadi ibu....bertuahnya anda......


Apa saja yang dijadikan Allah di dunia ini mempunyai sebab dan musabab, maka begitulah juga dengan kelahiran manusia iaitu dengan perkahwinan lelaki dan wanita itu menjadikan umat di dunia ini berkembang biak.

Tumbuh-tumbuhan tidak berhenti-henti tumbuh dan berubah, binatang sentiasa berkembang biak, air sungai terus menerus mengalir, air laut tidak pernah berkurangan, ikan-ikan di laut semakin banyak dan lain-lain lagi kebesaran dan kejadian yang dianugerahkan oleh Allah.

Inilah yang dijanjikan oleh Allah bahawa manusia yang dijadikan oleh Allah dilengkapi dengan rezekinya. Oleh kerana memelihara dan membesarkan manusia kecil itu, bukanlah satu perkara yang mudah, maka Allah telah melengkapkan kaum wanita dengan perasaan kasih sayang yang berlebihan sehingga tubuh yang lemah dan halus itu sanggup memberi pengorbanan yang tidak ternilai harganya.

Dengan perisai kasih sayang itu wanita sanggup menempuh penderitaan dalam masa mengandung, berani menggadai nyawa ketika melahirkan anak. Bersusah payah mengasuh dan mendidik sehingga anak-anak mereka menjadi insan yang sempurna.

Walaupun pengorbanan wanita itu penuh dengan kerelaan tanpa mengharap balasan dari anak-anak mereka, tetapi Allah sangat mengambil berat dan menghargai pengorbanan itu dengan perintah supaya anak-anak tidak menderhakai ibunya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: " Pada suatu masa datang sorang lelaki pada Rasulullah lalu bertanya, " Ya Rasulullah, saya mempunyai seorang ibu, saya dukung dia dibelakangku, tidak pernah saya bermasam muka padanya. Saya serahkan kepadanya hasil pendapatanku, Sudahkan saya membalas jasanya.". Jawab Rasulullah: " Tidak, walaupun satu nafas panjangnya, Orang itu bertanya: " Mengapa ? Rasulullah bersabda, " kerana ibumu memeliharamu, dia suka engkau panjang umur, sedangkan engkau memeliharanya, padahal engkau suka dia lekas mati."

Itulah penghargaan yang diberikan kepada kaum ibu, kerana kerelaan mereka memikul akibat kasih sayang yang dikurniakan Allah kepada mereka bagi mengekalkan perkembangan umat manusia.

Tugas wanita yang paling berat ialah dalam membentuk peribadi anak-anak sehingga menjadi manusia bernilai tinggi, berbudi, berpengetahuan dan beragama. Ibu adalah guru terawal kepada anak-anak, sebagai seorang wanita dan ibu anda adalah contoh yang terbaik kepada anak-anak..................

No comments:

Post a Comment