Tahukah kita bahawa di sebalik kesakitan yang kita
perolehi itu ada kenikmatan yang dianugerahkan oleh-Nya? Tetapi betapa sikitnya
umat manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberi ini walaupun mensyukuri
nikmat itu suatu kewajipan atas orang yang beriman. Manakala kesihatan
merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada
hamba-hambanya.
Namun kenikmatan ketika sakit itu hanya dapat diukur oleh
orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila
nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit tersebut menimpa, maka sekali gus telah
melenyapkan kebahagiaan.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."
Namun sebagai orang hamba yang beriman, apabila ditimpa
musibah penyakit ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar dan
mengharapkan ganjaran pahala. Sebagai mana sebuah hadis riwayat Muslim daripada
Suhaib r.a., beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud):
'sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaanya
pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan
orang beriman. Apabila ia memperoleh
kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat
dirinya."
Betapa Beruntungnya Orang
yang Sakit
Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai
keuntungan dan kebaikan dari penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan
kesembuhan daripada penyakit tersebut.
Salah satu kelebihan sakit ialah ia dapat mengangkat
darjat seseorang di sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada
Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya."
Apabila cubaan dan penyakit
menimpa orang yang memiliki hubungan yang baik dengan Allah, lalu ia mampu
bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih
daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud:
"Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah percepatkan seksaan di dunia."
Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah menemui Rasulullah s.a.w. ketika Baginda mengalami demam yang amat teruk. Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau juga mengalami demam seteruk ini?" Baginda menjawab: "Betul. Bahkan aku merasa demam dua kali ganda lebih berat daripada yang biasa kamu rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sa'ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang: "Siapakah orang yang paling berat cubaannya?" Beliau menjawab: "Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud): 'Orang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang dibawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah maka cubaan yang menimpanya sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di bumi tanpa memiliki sekelumit dosa pun."
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. datang menemui Ummu al-Saib. Baginda bertanya: "Kenapa engkau menggigil seperti itu wahai Ummu al-Saib?" Wanita itu menjawab: "Demam, Allah tidak memberkati padanya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau mengutuk penyakit demam kerana penyakit itu boleh menghapauskan dosa anak-anak adam..."
Ulama' Mengharapkan Sakit
Imam Ibn Abi al-Dunya menceritakan: "Sesungguhnya para ulama' dahulu mengharapkan
ditimpa demam satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau."
Mengapa perlu bersedih apabila
ditimpa penyakit? Kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di
sisi Allah Taala yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat. Jadi,
Allah terus memberi cubaan kepada kita dengan hikmah-Nya yang mungkin kita
tidak menyukainya, lalu ia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam
menghadapinya sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.
Antara Maha Lembutnya Allah s.w.t. dan rahmat-Nya, bahawa
apabila Allah menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang, nescaya ia akan
membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain. Bagi orang yang sakit, Allah
tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai ibadah yang
biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakan lagi kerana mereka
sakit.
Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Musa al-'Asy'ari r.a., beliau bercerita: "Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Kalau seseorang hamba sakit atau sedang bermusafir, pasti Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa masih sihat dan sedang bermukim."
Kemuliaan apa lagi yang mahu
diperoleh setelah diberikan Allah kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih
luas selain daripada keutamaan dari Allah yang mengurniakan pelbagai
kenikmatan? Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah masih menulis
pahala daripada ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.
Jangan Risau! Setiap Kesukaran Itu Ada Kemudahan
Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan kesusahan,
pasti Allah mendatangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia menjadi
sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Insyirah ayat 5
hingga 6 yang bermaksud:
"Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada
kemudahan(5). Sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan(6)."
Boleh jadi pelbagai kesukaran dan kesulitan itu
membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti akan ada jalan
keluar dari sisi Allah yang akan diperolehnya. Mungkin sahaja seseorang yang
menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh
penyelesaian, tiba-tiba terbuka di hadapannya jalan keluar yang tidak pernah ia
terfikir sebelumnya.
Bagi orang diberi ujian(penyakit) daripada Allah,
janganlah kita berburuk sangka kepada Allah, berasa kecewa dan berputus asa
kerana apa-apa sahaja yang terdapat dalam persangkaan seorang hamba, maka
begitulah yang Allah lakukan terhadapnya.
Jika hamba itu bersangka baik kepada-Nya, maka Allah akan
memberikannya perkara-perkara yang baik. Sebaliknya jika hambanya bersangka
buruk terhadap dirinya, maka Allah menganggap ia sebagai satu doa, bahkan Allah
akan mengabulkan doa itu sesuai dengan permintaannya sebagaimana hadis riwayat
oleh Imam Ahmad:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla berfirman: 'Aku hanya
mengikut sangkaan hamba-Ku sahaja. Kalau ia bersangka baik kepada-Ku, Aku pun
akan berbuat begitu. Kalau ia bersangka buruk kepada-Ku, Aku pun akan berbuat
begitu terhadapnya."
Apa pun, sentiasalah bersabar atas dugaan kesakitan
yang diberi kerana sedetik masa orang yang sakit itu dinilai oleh-Nya. Mungkin
nilaian inilah yang memberatkan timbangan amal kita apabila dihisab di akhirat
nanti. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment