Tiada jalan untuk mendapatkan petunjuk Allah melainkan
menerusi Islam. Tiada jalan memahami Islam melainkan memahami al-Quran dan
as-Sunnah dengan kaedah-kaedahnya yang sahih. Malangnya masih ada di kalangan
yang mendakwa diri mereka muslim lebih suka kepada tafsiran-tafsiran Islam yang
tidak berteraskan kefahaman yang betul terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Di
kalangan mereka ada pula yang begitu berminat jika memiliki aliran atau
tafsiran agama yang tersendiri dan menyimpang dari petunjuk al-Quran dan
as-Sunnah. Antaranya dengan menyertai atau menganut ajaran sebahagian tarekat
atau aliran kerohanian yang membuat beberapa tafsiran agama yang sangat bahaya
pada penilaian aqidah Islamiyyah.
Golongan seperti ini menganggap diri, guru dan aliran
yang mereka ikuti adalah istimewa dan mulia. Mereka bangga dengan
tafsiran-tafsiran pelik yang menyimpang jauh dari jalan petunjuk yang sebenar.
Mereka mendakwa mereka telah menemui ilmu kerohanian dan makrifat. Justeru itu,
mereka tidak lagi bergantung kepada hukum zahir atau kepada syariat yang
dipegang golongan zahir atau awam. Mereka mendakwa kononnya mereka adalah
golongan batin atau hakikat yang mempunyai ilmu ladunni(ilmu secara langsung
dari Allah), kasyaf (singkapan hijab) yang tidak lagi memerlukan lagi nas-nas
al-Quran dan as-Sunnah.
Sebenarnya, tarekat atau aliran kesufian yang seperti ini
sangat merbahaya kerana menatijahkan kerosakan aqidah dan tulisan ini akan cuba
membahaskannya dengan ringkas.
Kepentingan Aqidah
Telebih dahulu hendaklah seseorang sedar bahawa persoalan
`aqidah adalah teras kepada ad-din. Tanpa aqidah yang sahih iaitu yang
berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah maka seluruh amalan adalah sia-sia belaka,
sekalipun nampak pada zahirnya hebat.
Firman Allah:
وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتَ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ
مُؤْمِنٌ فَأُوْلَـئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا
Maksudnya
“Sesiapa yang beramal dengan amalan yang solih samada
lelaki atau perempuan dalam keadaan dia mukmin, mereka itu memasuki syurga dan
mereka tidak dizalimi walaupun sedikit”
(Surah an-Nisa’ 4:124)
Dalam ayat di atas Allah dengan jelas mensyaratkan
seseorang yang ingin melakukan amal solih itu hendaklah mukmin iaitu beriman
kepada Allah dalam ertikata iman yang sebenar dan pastinya tidak melakukan
perkara-perkara yang merosakkannya. Dengan itu sesiapa yang akidahnya rosak
maka amalannya sama sekali tidak diterima walaupun kelihatan banyak dan hebat.
Ini kerana setiap amalan dalam Islam dibina di atas asas aqidah.
Iktikad Yang Merosakkan
Iktikad yang ada pada sebahagian golongan tarekat yang
menganggap bahawa sesiapa yang sudah sampai kepada peringkat tertentu dalam
amalan atau tarekat yang mereka ikuti maka dia tidak lagi bergantung kepada
syariat seperti tidak perlu lagi solat, puasa, jihad dan sebagainya. Mereka
beranggapan kononnya yang perlu beramal ialah golongan awam sedangkan mereka
adalah golongan khusus atau ahli hakikat atau makrifat.
Sebenarnya hendaklah diketahui bahawa fahaman ini
termasuk dalam aliran kufur dan sesat yang telah lama dibahaskan dan ditentang
oleh para ulama Ahl as-Sunnah wa al-Jama`ah. Mereka perlu jelas bahawa
kesimpulan perbahasan berkenaan menyatakan kepercayaan atau pegangan tersebut
boleh mengeluarkan mereka dari Iman dan Islam. Dalam kata lain ianya boleh
membatalkan syahadah mereka dan menjadikan mereka kafir. Para ulama aqidah
memasukkan kepercayaan seperti itu dalam senarai perkara kufur. Disebut dalam
‘Taisir dhi al-Jalal wa al-Ikram bi Syarh Nawaqid al-Iman’ seperti berikut:
“Sesiapa yang beriktikad bahawa sebahagian manusia dibolehkan keluar dari
syariat Muhammad s.a.w maka dia adalah kafir. Ini berdasarkan firman Allah:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ
وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai din (agama) maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk daripada kalangan golongan yang rugi”
(Surah Ali `Imran 3:85)” (m.s. 97, Cetakan Dar Isybilia, Saudi)
Al-Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-`Azim,
menafsir ayat dalam Surah Ali `Imran di atas menyatakan: “Sesiapa yang melalui
suatu cara yang lain dari apa yang disyariatkan Allah maka sama sekali ianya
tidak diterima” ( jld. 2, m.s. 378, Cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut).
Guru-guru ajaran sesat yang seperti ini biasanya akan
mengemukakan kepada para pengikutnya yang jahil dalam memahami al-Quran dan
as-Sunnah berbagai-bagi tafsiran palsu, bohong lagi menyesatkan. Para pengikut
yang tidak begitu jelas kefahaman terhadap Islam akan menerima dan menganggap
mereka memiliki hujah dan dalil yang kuat terhadap apa yang mereka percayai.
Antara apa yang dihuraikan oleh golongan ini untuk menghalalkan tindakan mereka
yang enggan mengikut syariat dan menganggap mereka telah sampai kepada suatu
makam yang istimewa ialah:
Penyelewengan Huraian Maksud al-Yaqin
Mereka berhujjah dengan firman Allah dalam Surah (15)
al-Hijr ayat 99:
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ
Maksudnya:
“Beribadatlah kepada tuhanmu sehingga datangnya kepadamu
al-yaqin”.
Dengan membuat tafsiran salah mereka menyatakan bahawa
ayat ini bermaksud “beribadatlah kepada tuhanmu sehingga engkau memperolehi
ilmu dan makrifat, setelah engkau telah memperolehinya maka gugurlah kewajipan
`ibadat”. Di sana ada lagi beberapa tafsiran lain yang mereka cipta bagi
membolehkan mereka menganggap perkataan al-yaqin dalam ayat di atas adalah
bermaksud makam sufi. Apabila mereka menganggap diri mereka telah
memperolehinya maka tanggungjawab ibadat atau mengikut syariat sudah tidak
diperlukan lagi kerana ayat tersebut menyatakan sehingga datangnya yakin maka
apabila yakin yang ditafsirkan oleh mereka telah diperolehi maka syariat pun
gugur.
Tafsiran Sebenar
Sebenarnya perkataan al-yaqin di dalam ayat di atas telah
ditafsirkan oleh semua mufassirin yang muktabar sebagai al-maut iaitu kematian.
Dengan ini ayat tersebut bermaksud: “Beribadatlah kepada tuhanmu sehingga
datangnya kepadamu kematian”
Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi di dalam kitabnya yang
masyhur iaitu Ahkam al-Quran menjelaskan maksud ayat ini: “Perkataan al-yaqin
bermaksud al-maut (kematian), Allah memerintahnya agar terus menerus dalam
ibadat selama-lamanya, iaitu sepanjang hayat.” Seterusnya Al-Qadi Abu Bakr Ibn
al-`Arabi mengemukakan alasan mengapakah perkataan al-yaqin di dalam ayat di
atas ditafsirkan sebagai al-maut. Iaitu berdasarkan kepada hadith yang
diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, apabila Rasulullah menziarah jenazah
Uthman bin Madh`un, baginda bersabda:
“Adapun dia telah datang kepadanya al-yaqin. Demi Allah
aku mengharapkan untuk kebaikan…” ( jld. 3, m.s. 116, Cetakan Dar al-Fikr,
Beirut).
Daripada hadith riwayat al-Imam al-Bukhari (hadith
ke-1243) yang dikemukan oleh al-Qadi Abu Bakr Ibn al-`Arabi dengan jelas
menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada jenazah Uthman bin Madh`un
yang telah meninggal, baginda menggunakan perkataan al-yaqin dengan dimaksudkan
al-maut iaitu kematian. Dengan jelas sunnah atau hadith sendiri telah
menafsirkan maksud ayat tersebut. Maka ini yang kukuh kerana tafsiran yang
paling kuat terhadap sesuatu ayat al-Quran ialah samada di tafsirkan dengan
ayat al-Quran yang lain atau dengan as-Sunnah. Setelah datangnya tafsiran yang
ma’thur (daripada Rasullullah) maka tidak boleh wujud lagi sebarang tafsiran
aqli yang menyanggah tafsiran Nabi s.a.w.
Daripada ucapan Nabi s.a.w. yang jelas itu maka ayat
tersebut bermaksud setiap mukmin diwajibkan terus beribadat sehingga tibanya
kematian. Justeru itu ternyata, ayat tersebut bukanlah hujah yang menyokong
kesesatan golongan berkenaan sebalik ianya adalah dalil yang menentang pendapat
mereka yang menyeleweng yang hanya menghadkan ibadat sehingga ke tahap tertentu
sahaja.
Al-Imam Ibn Kathir dalam menafsir ayat daripada surah
al-Hijr tersebut, menyebut alasan tambahan yang membuktikan kesesatan tafsiran
golongan tarekat atau sufi tersebut, katanya: “Sesungguhnya ibadat seperti
solat dan seumpamanya adalah wajib bagi bagi setiap insan selagi akalnya masih
berfungsi, maka hendaklah dia mengerjakan solat mengikut keadaannya. Ini
seperti yang sabit di dalam Sahih al-Bukhari daripada `Imran bin Husoin r.a.
sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Solatlah dalam keadaan berdiri, jika
tidak mampu maka dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu maka di atas
lambung”. Berdalilkan ini menunjukkan kesalahan pendapat golongan mulhid yang
berpendapat maksud al-yaqin ialah makrifat dan apabila telah seseorang di
kalangan mereka telah memperoleh makrifat maka gugur daripadanya tuntutan
agama. Ini adalah iktikad yang kufur, sesat dan jahil. Sesungguhnya para anbiya
a.s. dan sahabah mereka adalah golongan yang paling mengetahui tentang Allah, paling
mengenali tuntutan-tuntutanNya, sifat-sifatNya dan apa yang paling layak untuk
mengagungkanNya, namun begitu mereka adalah golongan yang paling kuat dan
banyak ibadat serta terus menerus melakukan amalan kebaikan sehingga menemui
kematian. Dengan itu maksud al-yaqin di sini adalah al-Maut (kematian) (jld. 2,
m.s. 581)
Cuba lihat dalam petikan di atas al-Imam Ibn Kathir
dengan jelas menghukum golongan ini sebagai mulhid (tidak percayakan agama),
kafir, sesat dan jahil. Ini menunjukkan betapa bahayanya kepercayaan seperti
ini terhadap aqidah dan wajibnya golongan ini ditentang.
Menyelewengkan Tafsiran Kisah Musa dan Khidir
Selain itu golongan ini juga beralasan dengan peristiwa
Nabi Musa a.s. dan Khidir a.s. yang disebut di dalam al-Quran, di dalam Surah
al-Kahf. Jika kita merujuk kepada Surah al-Kahf (ayat 60-82) Allah menceritakan
pengembaraan Nabi Musa mencari Khidir a.s. bagi menuntut ilmu daripadanya.
Semasa perjalanan Nabi Musa a.s. menemani Khidir a.s., baginda telah melihat
beberapa tindakan Khidir a.s. yang menyanggahi syariat yang diturunkan
kepadanya (Musa) lalu baginda membantahnya. Setelah tiga kali pertanyaan serta
bantahan dibuat oleh Musa a.s. terhadap tiga tindakan yang dilakukan oleh
Khidir, akhirnya Khidir pun tidak lagi membenarkan Musa a.s. mengikuti dan
menceritakan rahsia segala tindakan-tindakannya yang dianggap oleh Nabi Musa
a.s. sebagai kesalahan.
Dengan mempergunakan kisah dalam Surah al-Kahf berkenaan
maka golongan sufi atau tarekat yang sesat beralasan bahawa para wali dibolehkan
tidak mengikut syariat para nabi dan boleh melakukan segala tindakan yang
dianggap salah oleh golongan zahir tetapi haikatnya betul di sisi ilmu hakikat
atau ilmu ladunni. Ini kononnya sama seperti tindakan Khidir yang tidak
mengikut Nabi Musa a.s. kerana Khidir adalah wali Allah dia menilai dengan ilmu
ladunni yang terus menerus daripada Allah sedangkan Musa a.s adalah seorang
nabi yang menilai dengan ilmu syariat semata. Justeru itu golongan hakikat
tidak sama dengan golongan syariat dan golongan hakikat tidak perlu mengikut
syariat seperti Khidir tidak perlu mengikut Musa.
Inilah dakwaan mereka yang sangat jahil bagi menilai apa
yang terkandung di dalam lafaz-lafaz atau bentuk-bentuk ayat (siyaq al-Ayat)
yang membawa maksud bagi sesuatu tafsiran yang benar. Golongan sufi yang
menyeleweng dan tarekat yang sesat mempergunakan ayat 65 dari Surah al-Kahf
(18) yang menyebut:
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ
عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا
“Lalu mereka berdua (Musa dan Yusya’ bin Nun) telah
bertemu seorang hamba (Khidir) dari kalangan hamba-hamba Kami (Allah) yang
telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan Kami berikan kepadanya
ilmu dari sisi Kami”.
Oleh kerana ayat itu menyebut min ladunna ilma (ilmu dari
sisi Kami) maka muncul istilah ilmu ladunni. Dengan istilah ini ada golongan
sufi dan tarekat yang sesat mengambil kesempatan untuk mengatakan mereka juga
mempunyai ilmu ladunni seperti Khidir oleh itu mereka tidak terikat atau
bergantung dengan syariat zahir.
Sebab itu seorang tokoh mufassir semasa iaitu Solah `Abd
al-Fatah al-Khalidi dalam mengulas ayat ini dalam buku Ma`a Qasas as-Sabiqin Fi
al-Quran beliau menyebut: “Para penafsir golongan sufi telah berbicara dengan
perkataan-perkataan yang pelik mengenai ilmu ladunni dan memisahkan antara
hakikat dan syariat, yang zahir dan batin. Mereka telah mencampur aduk dan
merosakkan dalam menafsirkan ayat-ayat ini dan juga selainnya.” (jld. 2 m.s.
186. Cetakan Dar al-Qalam, Syiria) .
Beliau juga menukilkan beberapa ulasan para ulama
mengenai ayat ini, antaranya ulasan al-Imam as-Syinqiti di dalam tafsirnya,
Adwa al-Bayan iaitu: “Sesungguhnya rahmat dan ilmu ladunni yang kedua-duanya
Allah kurniakan kepada kepada Khidir bermaksud kenabian dan wahyu. Ini kerana
Khidir berkata kepada Musa:
وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي
(Maksudnya) “Aku tidak melakukannya dengan kehendakku”. (Surah al-Kahf: 82)
Perintah Allah tidak diketahui kecuali dengan jalan
wahyu. Tiada jalan kepadanya melainkan wahyu. Allah telah menentukannya
(pengetahuan mengenai perintahNya) hanya dengan jalan wahyu dengan firmannya
dalam Surah al-Anbiya (21) ayat 45:
قُلْ إِنَّمَا أُنذِرُكُم بِالْوَحْيِ
(Maksudnya)”Katakanlah (Wahai Muhammad !) Aku hanya memberikan peringatan dengan wahyu”. (ibid. m.s. 190)
Setelah menghimpunkan ulasan dan tafsiran para ulama
mengenai ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh al-Quran, Solah al-Khalidi membuat
kesimpulan seperti berikut, katanya: “Selepas melihat perkataan-perkataan
daripada para ulama kita maka kita dapat membuat suatu keputusan yang putus
iaitu: Ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh ayat tersebut, yang telah Allah
ajarkannya kepada Khidir a.s. sebenar ialah nubuwwah (kenabian) dan wahyu.
Adapun pengakuan dan dakwaan golongan sufi mengenai ilmu ladunni menurut
kefahaman mereka itu, adalah batil, sesat, menyanggahi syariat Islam dan
petunjuk al-Quran. (m.s. 92)
Ini bererti seluruh tindakan Khidir adalah wahyu daripada
Allah. Khidir adalah nabi. Nabi Musa diutuskan kepada Bani Israil tidak
diutuskan kepada Khidir. Khidir juga sebenarnya adalah Nabi yang menerima
arahan langsung daripada Allah melalui jalan wahyu. Beliau tidak bergantung
kepada syariat yang dikhususkan kepada Bani Israil. Justeru itu, segala
tindakan Khidir adalah perintah Allah yang pasti melalui jalan wahyu dan tidak
bergantung kepada ajaran Nabi Musa a.s. yang diutuskan untuk Bani Israil.
Adapun Nabi Muhammad adalah utusan untuk sekelian manusia tanpa kecuali dan
tidak ada yang terlepas dari berada di bawah lembayung ajarannya.
Al-Imam al-Allamah Ibn Abi al-`Izz dalam kitab aqidah
yang iaitu Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah dengan jelas menyebut persoalan ini
dengan katanya: “Adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir
a.s. bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu
ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah
mulhid (atheis) dan zindak (munafiq). Ini kerana Musa a.s. bukanlah Rasul yang
diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutnya. Sebab
itulah Khidir bertanya Musa:
“Apakah engkau Musa dari Bani Israil?” Jawab Musa: “Ya!”
(Riwayat al-Bukhari).
(Riwayat al-Bukhari).
Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia
dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi
pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan
berhukum dengan syariat Muhammad. Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa
kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan
(mempercayai) ianya berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia
memperbaharui keislamannya, hendak dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang
benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia
bukan dari kalangan wali-wali ar-Rahman sebaliknya dia adalah wali-wali
syaitan”. (m.s. 511, cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut).
Lihatlah betapa jelasnya pendirian para ulama akidah
terhadap golongan sufi dan tarekat yang seperti ini. Nyata sekali, sesiapa yang
mendakwa perkara seperti ini terhadap dirinya atau orang lain seperti guru
tarekat atau syeikhnya maka dia sama sekali adalah terkeluar daripada Islam. Di
samping itu, sesiapa yang mendakwa dirinya seperti Khidir bererti dia mendakwa
dirinya diberikan wahyu seperti Khidir atau dalam kata lain dia mendakwa diri
menjadi nabi setelah datangnya penutup sekelian nabi. Ini adalah kekufuran di
atas kekefuran.
Al-Imam al-Qurtubi yang merupakan tokoh mufassir besar.
Beliau juga tidak lupa membahaskan persoalan ini dalam tafsirnya al-Jami’ li
Ahkam al-Quran. Beliau menukilkan ulasan gurunya al-Imam Abu al-`Abbas mengenai
golongan ahli kebatinan yang dihukum sebagai zindiq iaitu katanya: “Mereka itu
berkata: “Hukum-hakam syarak yang umum adalah untuk para nabi dan orang awam
adapun para wali dan golongan khusus tidak memerlukan nas-nas (agama)
sebaliknya mereka hanya dituntut dengan apa yang terdapat dalam hati mereka.
Mereka berhukum berdasarkan apa yang terlintas dalam fikiran mereka”. Golongan
ini juga berkata: “Ini disebabkan kesucian hati mereka dari kekotoran dan
keteguhannya maka terjelmalah kepada mereka ilmu-ilmu ilahi, hakikat-hakikat
ketuhanan, mereka mengikuti rahsia-rahsia alam mereka mengetahui hukum-hakam
yang detil maka mereka tidak memerlukan hukam-hakam yang bersifat umum seperti
yang berlaku kepada Khidir. Mencukupi baginya (Khidir) ilmu-ilmu terserlah
kepadanya dan tidak memerlukan apa yang ada pada kefahaman Musa”. Golongan ini
juga menyebut: “Mintalah fatwa dari hatimu sekalipun engkau telah diberikan
fatwa oleh para penfatwa”. Seterus al-Qurtubi mengulas dakwaan-dakwaan ini
dengan katanya: “Kata guru kami r.a.: Ini adalah perkataan zindiq dan kufur
dibunuh sesiapa yang mengucapkannya dan tidak diminta daripadanya taubat,
kerana dia telah engkar apa yang diketahui dari syariat. Sesungguhnya Allah
telah menetapkan jalanNya dan melaksanakan hikmahNya bahawa hukum hakamnya
tidak diketahui melainkan melalui perantaraan rasul-rasul yang menjadi para
utusan antara Allah dan makhlukNya. Meraka adalah penyampai risalah dan
perkataanNya serta penghurai syariat dan hukum-hakam. Allah memilih mereka
untuk itu dan mengkhususkan urusan ini hanya untuk mereka.” Dalam huraian
tambahan al-Qurtubi menyebut lagi: “Telah menjadi ijma’ salaf dan khalaf bahawa
tidak ada jalan mengetaui hukum-hakam Allah yang berhubung suruhan dan laranganNya
walaupun sedikit, melainkan melalui para Rasul. Sesiapa yang berkata “Disana
ada cara lain untuk mengetahui suruhan dan larangan Allah tanpa melalui para
rasul atau tidak memerlukan para rasul maka dia adalah kafir, dihukum bunuh……”
(jld. 11, m.s. 40-41, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).
Demikian betapa tegasnya al-Imam al-Qurtubi dalam
mengulas dakwaan sesat lagi kufur ini bagi membukti betapa bahayanya iktikad
yang seperti ini. Bahkan kebanyakan para ulama Ahli as-Sunnah tidak lupa untuk
memperingatkan perkara ini setiap kali mereka menyebut kisah Musa dan Khidir
bagi memerangi golongan yang mempergunakan tafsiran yang salah lagi sesat ini
untuk memperlihatkan keistimewaan diri dan akhir mereka tercerumus ke lembah
kekufuran. Umpamanya, lihatlah ulasan yang begitu jelas oleh Syeikh al-Islam
Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa dalam menentang kefahaman-kefahaman yang
seperti ini. Demikianlah para ulama yang lain bagi setiap zaman. Maka golongan
ilmuan yang wujud pada zaman ini juga perlu memerangi perkara yang seperti ini.
Ini kerana aliran kepercayaan ini masih wujud dan mempengaruhi kalangan yang
jahil dan mencari kesempatan untuk melepaskan diri dari agama. Jika mereka
tidak ditentang habis-habisan maka akan hancur binaan Islam dan yang tinggal hanyalah
Islam tanpa syariat.
No comments:
Post a Comment